7.5.10

Konsep Fertigasi Di Rumah

Bayangkan jika kita memang seorang yang mempunyai minat yang tinggi terhadap pertanian seperti berkebun, bercucuk tanam dan membuat landscaping di rumah, tetapi disebabkan kita kesuntukan masa (banyak dihabiskan di dalam pejabat atau kerja-kerja lain) menyebabkan minat dan hobi kita terbantut.
Dengan teknologi terkini seperti fertigasi dan hidroponik, kita sebenarnya boleh memastikan minat kita secara berterusan dapat dijalankan di rumah. Di kawasan rumah yang sempit dan terhad, kita masih boleh bercucuk tanam atau menanam pokok bunga kegemaran kita. Bercucuk tanam mampu memberikan "value added" kepada ekonomi rumahtangga yang mana hasil tanaman kita boleh kita nikmati secara percuma dan memuaskan hati kita sendiri. Bayangkan, tanaman seperti cili, terung, tomato, bendi, kacang panjang, kacang botol dan pelbagai  jenis sayuran lain yang boleh menjadi makanan harian dan ulam-ulaman dalam kehidupan. Pokok bunga hiasan yang ditanam di dalam pasu bunga juga boleh disemai dengan sihat dan cantik.
Dengan bantuan teknologi, pokok sayuran dan bunga mampu disemai, disiram dan dibaja setiap hari tanpa bantuan manusia. Hanya sedikit kerja sambilan pada hujung minggu (sekadar keluar peluh dan menyihatkan badan) boleh membantu agar pokok-pokok dapat dijaga dengan lebih rapi. Kerja-kerja pembersihan daun, perapian dan meracun boleh dilakukan pada hujung minggu dengan senang hati.
Justeru, tidak salah kita terokai teknologi baru yang ada untuk manfaat diri dan keluarga. Dan sememangnya pertanian ini banyak membantu memudahkan kehidupan kita.

Rumah saya turut tidak ketinggalan menggunakan kaedah fertigasi untuk menanam cili, terung, bendi dan tomato. Dapatlah merasa sedikit hasil tanaman di rumah dan cukuplah untuk memastikan hobi dan minat yang berterusan dengan pertanian dapat dilaksanakan walaupun sibuk pada hari-hari biasa. Hujung minggu merupakan kesempatan terbaik meninjau perkembangan pokok-pokok disamping dapat menggerakkan tulang empat kerat ini. Dapat juga mengeluarkan peluh dan membantu menyihatkan badan.
Jadi, anda juga boleh melakukannya di rumah. Pertanian satu Ibadah, satu Pekerjaan dan satu Perniagaan.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails