Fertigasi Untuk Anda

Merupakan gabungan perkataan Fertigation dan irrigation ( Pembajaan dan Pengairan ) tanpa menggunakan tanah. Fertigasi dipraktikkan sebagai satu kaeadah alternatif. Penerimaan dan penggunaan kaedah ini masih rendah pada masa sekarang tetapi akan menjadi suatu kaedah yang amat diperlukan pada masa akan datang. Untuk mendapat faedah yang optima daripada kaedah ini, biasanya semua langkah awal diambil perhatian termasuk sifat media yang baik dan sesuai untuk jenis-jenis tanaman, jenis dan bekas tanaman serta formulasi baja (nutrien) yang seimbang. Bekas tanaman yang digunakan dan diletakkan tanpa mencecah tanah adalah sebagai langkah pencegahan merebaknya patogen daripada tanah seperti jangkitan penyakit akar seperti Pythnium, Fusarium, Rhizoctonia dan penyakit kayu bakteria yang terdapat di bawah tanah. Sesuai dibuat di kawasan perumahan, permukaan tanah yang tidak subur dan permukaan berbatu.

KELEBIHAN KAEDAH FERTIGASI
Kaedah penanaman secara fertigasi mempunyai kelebihan tersendiri berbanding dengan kaedah konvensional iaitu:
  • Pemberian nutrien lengkap yang boleh dikawal mengikut kehendak tanaman berdasarkan jenis dan peringkat pertumbuhannya. 
  • Media tumbesaran dan persekitaran menjamin kebersihan dan menghindar masalah penyakit. 
  • Mengatasi masalah tanah (tidak subur, perumah penyakit dan perosak). 
  • Meningkatkan hasil per unit kawasan dengan kepadatan tinggi. 
  • Tiada masalah merumpai – jika lantai simen atau ditutup dengan plastik sepenuhnya. 
  • Kualiti hasil yang lebih baik – rasa, struktur dan ketahanan simpanan. 
  • Penggunaan baja yang cekap – mencapai 85% berbanding kaedah tabur hanya 30%. 
  • Mengurangkan penggunaan racun ke atas tanaman terutamanyajika jejaring kalis serangga digunapakai. 
  • Hasil lebih tinggi (boleh mencapai sehingga 700% atau tujuh kali ganda 
MEDIA TANAMAN
Sabut kelapa sahaja atau boleh dicampurkan dengan sekam padi dengan komposisi 70:30, Peat moss, air, baja dan racun.

JENIS CILI
1. Cili Kulai King 9338
2. Cili Kulai 568
3. Cili Hybrid F1
4. Cili Api Kampung
5. Cili Api Semerah
6. Cili Api Bara

TEKNIK SEMAIAN BIJI BENIH
  1. Rendam benih dalam air selama 8 jam
  2. Tos kan benih
  3. Taburkan atas kertas A4, lipat kertas itu
  4. Masukkan kertas beserta benih itu ke dalam plastik, tiupkan plastik dan terus tutup supaya plastik menggelembung, biarkan selama 24 jam.
  5. Keluarkan semula benih, tabur racun kulat ke atas benih.
  6. Semai sedalam 0.5cm guna peat moss.
  7. Siram air paip pagi dan petang, jangan bagi kering.
  8. Setiap 7 hari sembur racun kulat (guna separuh sukatan yang disyorkan)
  9. Selepas 14 hari, siram air baja A B pagi dan petang, jangan bagi kering (baja A B digunakan selepas semaian berusia 14 hari kerana baja di dalam peatmoss telah habis atau kurang)
  10. Bermula usia 21 hari, setiap hari jemur pada matahari dari jam 8pagi - 11pagi supaya batangnya keras.
  11. Apabila capai ketinggian 6 inci (25 hari), bolehlah pindah ke polybeg.
PEMBAJAAN
Baja asas terdapat 2 jenis A dan B.
Baja A mengandungi Calcium Nitrate dan Iron Chelate
Baja B mengandungi Kalium Nitrate, Mono Kalium Hydrogen Phosphate, Magnesium Sulphate, Mangganese Sulphate, Boric Acid, Zinc Suphate, Copper Sulphate dan Natrium Molybdate.
Baja A dan B perlu dibancuh dalam dalam tong yang berasingan. Jangan sesekali mencampurkan baja Set A dan Baja Set B serentak. Ini akan menyebabkan pembajaan kurang berkesan kerana akan kehilangan Phosporus.

Bancuhan adalah seperti berikut :
  1. Gunakan 100 liter air untuk membancuh Set A dan Set B secara berasingan. Pastikan larutan disimpan ditempat yang teduh. Selepas dilarutkan biarkan selama 24 jam terlebih dahulu sebelum digunakan.
  2. Penuhkan air baja ke dalam tangki saliran. Masukkan kuantiti yang sesuai contohnya Baja A yang telah dilarutkan ke dalam saliran baja dan hidupkan pam ( Contoh tangki 600 gelen= 10 liter ) .
  3. Biarkan dahulu selama 5 minit sebelum memasukkan Baja B.
  4. Sentiasa memeriksa kepekatan air baja dengan menggunakan EC meter seperti yang disyorkan.
Siraman dan pembajaan cili adalah seperti berikut :
Minggu         Jumlah Air ( ml )   Kepekatan Baja( mS/cm)
1 - 3                 500 - 600             1.0 hingga 1.8
4 – 7                600 - 1200            2.0 hingga 2.6
8 seterusnya   1200 - 2000            2.6 hingga 3.0

CANTASAN
  • Semua tanaman perlukan cantasan bagi menghasilkan tanaman yang berkualiti dan berkesan.
  • Cantasan akan menghasilkan dahan baru dan akan menghasilkan buah yang banyak bagi tanaman cili. Biasanya cantasan dibuat selepas 30 hari biasanya cabang pertama yang membentuk putik.
  • Terdapat 2 peringkat cantasan dalam penanaman fertigasi cili cantasan yang pertama adalah selepas minggu ke 4 selepas pemindahan ke polibag ( cabang pertama ) dan cantasan seterusnya apabila buah cili pada cabang 2, 3 , 4 , 5 dan 6.Cantasan seterusnya setiap 30 hari.
  • Setelah pokok tumbuh dengan kukuh ikat dawai atau tali bagi menyokong pertumbuhan pokok.
PENYELENGGARAAN
  • Jika anak benih mati gantikan dengan anak benih baru.
  • Setiap 1 minggu periksa dripper dan filter, supaya tidak tersumbat.
  • Sembur racun serangga jika terdapat serangan pada tanaman .Sebaiknya seminggu sekali.
  • Semburan hormone juga digalakkan bagi pengeluaran bungan dan buah yang banyak sebelum dan semasa berbunga.
KAWALAN SERANGGA DAN PENYAKIT.
  • Racun Kulat ( Fungicide)
  • Malathion – Kutu Daun, Semut, Belalang, Lalat , Lelompat dan Hamma Merah.
  • Decis 250 – untuk ulat poletera, ulat halus, kumbang daun
  • Furadan 3G- Untuk memahitkan daun dan batang pokok bagi mengelakkan pokok dimakan oleh ulat atau belalang.
MEMUNGUT HASIL
  • Pokok cili akan sentiasa mengeluarkan bunga, putik baru dan buah sepanjang masa bergantung kepada bilangan pokok yang ditanam.
  • Jika kurang dari 2000 pokok, dituai 2-3 hari sekali pada pertama kali dituai. Anggaran bagi 2000 pokok adalah sebanyak 30 kg.
  • Jika lebih daripada 3000 pokok dituai setiap hari, terdapat 3 jenis keadaan buah dapat dituai iaitu semasa buah masih hijau, semasa buah sedikit kemerahan dan semasa buah merah.



    Nuffnang Ads

    LinkWithin

    Related Posts with Thumbnails